KAHWIN MUDA
Banyak lagi perkara wajar difikir remaja. Tingkatkan tahap pendidikan dahulu sebelum cepat berumah tangga.
Oleh: Abdul Muhaimin Abdul Rahman
Raffles Institution
Kahwin, kahwin, kahwin.
Nikah dan kahwin.
Bukanlah hai mudah... Perkara mudah!
Bapa saya kata lagu lama ini adalah nyanyian seorang penyanyi yang bernama Ahmadi Hassan.
Lagunya lama, tetapi topiknya baru, sebagaimana tersiar dalam dada akhbar baru-baru ini. Baru-baru ini Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, mengumumkan bahawa umur untuk orang Islam di Singapura yang ingin berkahwin akan dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Langkah ini bertujuan mengekang terlalu ramai belia kahwin muda. Ini kerana jumlah belia yang berkahwin pada usia yang muda telah cepat meningkat, dan kerana itu lebih banyak perceraian telah berlaku. Sebagai belia, saya mengharapkan agar lebih banyak dilakukan selain daripada peraturan itu untuk memastikan bahawa kesan peraturan itu bukan hanya pada naik atau turunnya angka. Misalnya, pada pendapat saya, kita juga harus mendidik para remaja. Ini kerana tanpa pendidikan sewajarnya, banyak kerumitan yang mungkin akan berlaku. Jika mereka tidak dapat berkahwin pada usia semuda 16 tahun, mereka mungkin terpaksa melakukan perkara yang lain yang juga tidak wajar, seperti menggugurkan anak.
Saya cuba fikirkan puncanya mengapakah semua ini terjadi. Bagi saya, belia yang berkahwin muda mungkin disebabkan oleh keputusan yang dibuat secara terlalu mendadak. Mereka tidak berfikir dengan betul apa yang akan terjadi jika mereka melakukan demikian. Ada juga di kalangan mereka yang terlanjur kerana menurut hawa nafsu dan akibatnya terjadilah kehamilan luar nikah. Perkara ini haram di dalam agama Islam, jadi untuk menutup perbuatan mereka itu, mereka yang terlibat pun berkahwin walaupun pada usia setahun jagung.
Kahwin muda juga kadangkala disebabkan oleh keluarga yang pincang. Ada kalanya ibu bapa belia tersebut keluar bekerja dan tidak memberikan perhatian yang secukupnya terhadap anak mereka. Ada kalanya ibu bapa tersebut sering bertelingkah. Belia itu terpaksa keluar untuk mencari ketenangan dan teman, dan ini menyebabkannya bercampur dengan remaja-remaja yang liar. Ibu bapa yang kurang memberikan tumpuan kepada anak mereka dan gagal memupukkan nilai yang penting juga menjadi antara sebab utama masalah belia ini. Daripada kahwin muda ini, banyak masalah akan timbul. Pasangan belia tersebut akan mendapati bahawa mereka terlalu muda dan kurang matang untuk menangani masalah rumah tangga. Oleh itu, mereka tidak dapat membahagi masa untuk rumah, anak, ongkos dan persekolahan. Lantas, mereka terpaksa bercerai dalam tempoh yang amat singkat.
Bagi saya, saya sedar bahawa kita sebagai belia masih muda. Saya pun seorang belia, 14 tahun. Tetapi saya juga sedar, kita semua manusia. Tidak kiralah jika kita pandai atau tidak, kita semua mempunyai nafsu. Saya sendiri lihat ramai pelajar sekolah di kejiranan saya duduk berpasangan di bangku kolong blok. Namun, kita masih muda lagi. Kenapa kita hendak jadi macam orang dewasa? Kos hidup Singapura amat tinggi. Jika kita hendak mendirikan rumah tangga sekarang, bagaimana pula kita hendak memenuhi syarat-syarat masyarakat kini?
Anda sekalian masih mempunyai banyak masa lagi. Malah, saya anjurkan kita kahwin pada usia lebih 18 tahun! Ini kerana bagi saya, daripada berkahwin pada usia 18 tahun, lebih baik meneruskan pelajaran di institusi tinggi dahulu. Malah, kaum lelaki pun perlu melalui perkhidmatan negara, bukan? Ada masa untuk fikir tentang kahwin ke?
Dalam artikel yang saya tulis dahulu, saya menggalakkan kita semua supaya mencari kemahiran yang sesuai untuk diri masing-masing. Buatlah begitu semasa usia masih muda. Belajarlah juga dengan lebih tekun supaya kita semua mendapat pekerjaan yang sesuai. Teruskanlah belajar sehingga universiti, dapat ijazah, mendapat pangkat yang tinggi, dan kemudian menyumbang kembali kepada masyarakat, barulah boleh kita fikirkan tentang mencari pasangan. Sebagaimana ibu saya sering katakan kepada saya dan adik saya: 'Nak kahwin? Tunggu hingga 25 tahun, baru boleh buka buku calon...' (Berita Harian, 21hb April 2008)
----------------------------------------------------------------------
Apa pula pandangan kamu? Adakah kamu bersetuju bahawa kahwin muda hanya akan mendatangkan lebih masalah kepada pasangan muda tersebut? Mari kita bertukar pandangan.