Sabtu, 10 Januari 2015


Tuesday, 14 June 2011

BICARAWARA, JERAYAWARA

Dalam persada bahasa Melayu, terdapat perkataan wara atau bentuk ejaan wara di bahagian akhir sesuatu suku perkataan.  Mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah menemukan perkataan seperti bicarawara, candawara, jerayawara dan seumpamanya.  Tahukan anda apakah maksud perkataan-perkataan tersebut?

1. Wara
Perkataan wara (wara-wara) berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud pemberitahuan, pengumuman dan pengisytiharan.  Pewara ialah pembawa acara dalam sesuatu majlis, atau lebih tepat kita katakan pengacara atau juruacara.

2.  Bicarawara
Perkataan ini merupakan terjemahan daripada perkataan bahasa Inggeris talkshow.  Bicarawara bermakna suatu rancangan yang mengandungi temu bual antara pewara dengan tetamu undangan berkaitan dengan sesuatu tajuk tertentu.  Dengan maksud yang lain, bicarawara ialah rancangan temu bual.  Perbuatan temu bual itu disebut wawancara.
3.  Candawara
Dalam bahasa Inggeris, candawara ialah gameshow.  Kita sering menonton satu rancangan berbentuk permainan, atau berbentuk pertandingan.  Para peserta yang mengambil bahagian dikehendaki menjawab soalan ataupun membuat sesuatu untuk menang.

4.  Jerayawara
Jerayawara bermaksud sesuatu ceramah, pameran, pertunjukan, persembahan yang diadakan dari satu tempat ke satu tempat lain, dengan tujuan memberikan penjelasan, memberikan hiburan, mempromosikan barangan dan sebagainya kepada khalayak.  Ceramah politik merupakan satu bentuk jerayawara.  Kebanyakan orang menggunakan kata roadshow, kerana itulah makna jerayawara dalam bahasa Inggeris.

5.  Purbawara 
Drama sebabak yang mengisahkan cerita kuno, yakni kisah raja-raja zaman dahulu, seperti kisah Dandan Setia, Raja Laksmana Bentan dan lain-lain.  Kebiasaannya, persembahan lakonan ini disertai nyanyian dan tarian.  Bentuk lakonan seperti ini dinamai juga bangsawan.

6.  Sandiwara
Sandiwara berkaitan dengan lakonan juga.  Kata lain yang sinonim dengannya ialah drama, teater dan tonil, yang dahulunya dilakonkan di atas pentas.  Selain makna ini, sandiwara juga bermaksud sesuatu kejadian yang tidak bersungguh-sungguh dengan tujuan mengabui mata sahaja.  Maksud ini terkandung dalam ayat : 
Di depan ibunya dia pandai bersandiwara seolah-olah pergi belajar, pada hal sebenarnya dia pergi menonton filem.

Demikian perihal makna beberapa perkataan yang mempunyai bentuk wara.  Semoga kita semua jelas akan maksud perkataan-perkataan tersebut.

Sumber : Cintai Bahasa Kita, Dewan Siswa Nov. 2009

Ahad, 5 Oktober 2008

Kesihatan lebih penting daripada kemewahan. Bincangkan.

Kata pujangga, “Harga atau nilai kesihatan, tidak diketahui kecuali orang-orang yang sakit.” Ini kerana kesihatan yang hilang belum tentu boleh direbut kembali dengan ubat-ubatan yang mampu dibeli dengan wang ringgit yang banyak. Dalam mengejar impian kehidupan gaya moden yang penuh kemewahan, ramai yang terlupa bahawa kesihatan yang sempurna merupakan suatu kekayaan. Seperti kata Encik Richard Baker, “Demi kekayaan, usahlah dipertaruhkan kesihatan diri. Kerana kesihatan itu sebenarnya kekayaan yang paling kaya.” Maka jelaslah bahawa kesihatan lebih penting daripada kemewahan.

Lazimnya, ramai orang beranggapan bahawa wang yang banyak membolehkan kita memiliki segala-galanya tetapi tanggapan ini salah. Kesihatan tidak boleh dijual beli. Wang yang banyak tidak dapat menyelamatkan seseorang dari cengkaman maut apabila dia menghidap penyakit AIDS atau barah. Mungkin wang boleh boleh mendapatkanya rawatan terbaik di dunia tetapi apalah gunanya kemewahannya itu jika dia harus menanggung kesakitan. Dengan kata lain, kesihatan bukanlah sesuatu yang boleh didapati di mana-mana pasaran.

Beralih ke hujah selanjutnya, kekayaan belum tentu menjamin kebahagiaan. Ini adalah kerana banyak lagi faktor lain yang turut menentukan kebahagian seperti kasih sayang daripada keluarga, teman atau pasangan, kepuasan diri dan ketenangan jiwa. Semua ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Dapatkah seseorang insan yang keseorangan itu membeli kasih sayang yang sejati? Demikian juga halnya dengan ketenangan jiwa. Bolehkah seseorang itu tidur lena jika harus memikirkan cara untuk membuat duit atau meraih keuntungan sepanjang masa?

Untuk mengejar kemewahan, ramai yang sanggup mengabaikan kesihatan diri. Malah, tidak kurang juga yang sanggup menggadaikan waktu bersama keluarga atau mengetepikan hubungan dengan orang lain asalkan membawa pulang wang yang lebih. Sebaliknya, kelebihan yang diperolehinya itu tidak bermakna jika terpaksa dihabiskan di klinik rawatan kerana jatuh sakit atau mengalami masalah kesihatan yang berpanjangan. Tambahan pula, wang yang banyak juga tidak akan dapat mengisi kekosongan jiwa atau memulihkan keretakan rumah tangga.

Daripada apa yang telah diperkatakan, jelaslah bahawa kesihatan dapat melahirkan kesejahteraan hidup yang lebih menyeluruh berbanding dengan kemewahan yang bersifat kebendaan. Kesedaran tentang peri pentingnya kesihatan ini dapat dilakukan menerusi media dan saluran-saluran lain seperti kumpulan akar umbi dan badan-badan kemasyarakatan yang serupa. Ini perlu agar lebih ramai warga Singapura akan menitikberatkan kesihatan daripada mengejar kekayaan semata-mata. Sesungguhnya, kesihatan itu lebih penting daridapa kemewahan.

Bagaimana keharmonian kaum di Singapura dapat ditingkatkan

Keharmonian kaum merupakan unsur penting dalam masyarakat majmuk seperti Singapura. Ini menjadi tunggak kehidupan yang aman dalam negara maju seperti Singapura. Apakah yang dimaksudkan dengan keharmonian kaum? Adakah ini benar-benar perlu dipertingkat di Singapura?

Mengikut Kamus Dewan edisi ketiga, keharmonian bermaksud keadaan harmoni (mesra) kemesraan. Ini dapat dijelaskan dalam berbagai-bagai konteks. Antara yang kerap digunakan adalah dalam konteks perhubungan sesama manusia. Apabila memperkatakan tentang keharmonian kaum, kita merujuk kepada perhubungan antara kaum Melayu, Cina dan India yang bermastautin di negara kita ini. Bagaimanakah hubungan yang baik dapat kita terapkan apabila berhubungan dengan kaum- kaum lain ini?

Pertama, faktor terpenting adalah dengan mempunyai sikap terbuka untuk menerima kaum- kaum lain seperti mana kita menerima kaum dan bangsa kita sendiri. Contohnya, kita tidak sepatutnya memilih kawan mengikut bangsa dan keturunannya. Ini dapat dipupuk apabila kita bersama-sama menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan di sekolah mahupun di tempat kediaman kita.

Kedua, kita juga perlu menghormati antara satu sama lain. Contohnya, apabila kita menyambut perayaan kita, kita bolehlah mengajak mereka merayakannya bersama- sama. Jika mereka turut serta dalam perayaan ini, mereka akan mula memahami dan menghormati budaya kita. Ini jugalah yang sepatutnya kita lakukan dengan perayaan mereka. Saban hari kita asyik mengeluh tentang kaum Cina yang membakar wang kertas mereka. Namun, jika kita prihatin dan menghormati budaya mereka, kita akan menganggap ini satu lumrah bagi budaya mereka.

Ketiga, cara yang berkesan juga adalah dengan mempunyai sikap toleransi. Kita sepatutnya, bertolak ansur dengan jiran, rakan dan taulan yang bukan sebangsa atau seugama dengan kita. Contohnya, kita boleh memberikan apa sahaja bantuan yang mereka mungkin perlukan. Jika rakan saya menghampiri saya untuk meminta bantuan dari segi kewangan misalnya, saya tidak akan ragu-ragu membantunya. Ini juga akan memberi kepercayaan kepada rakan saya tadi. Sikap bertoleransi juga penting dalam menjalankan tugasan harian.

Seterusnya, saya percaya bahawa dengan melakukan aktiviti harian bersama-sama rakan dan taulan yang tidak sebangsa dengan kita juga dapat mempererat hubungan sesama kaum. Sebagai kesimpulan, keharmonian kaum dapat dipertingkatkan jika kita sama- ama mempunyai sikap yang positif dan membuka hati dan minda untuk menerima rakan kita dengan ikhlas walaupun mereka dari bangsa yang berbeza.

Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Julai 18, 2007 — mindabahasa
Sumber: http://mindabahasa.wordpress.com/2007/07/18/contoh-karangan-gejala-merokok-dalam-kalangan-remaja/

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.

Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.

Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.

Kempen anti merokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan hidup sihat.

Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

Sabtu, 20 September 2008

Awalan mempeR- dan dipeR-

PEDOMAN BAHASA Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

Ramai pengguna bahasa Melayu terkeliru dengan cara menggunakan awalan memper- dan diper-, apatah lagi perbezaannya dengan apitan memper- atau diper- dan memper- ... -kan atau diper- ... - kan . Di bawah dihuraikan aspek ini dengan serba ringkas.

Awalan memper- dan diper- ialah awalan pembentuk kata kerja. Maksudnya, mana-mana kata dasar daripada golongan kata apa sekalipun, apabila bergabung dengan awalan ini, akan menghasilkan kata kerja. Sebagai contoh, kata dasar alat, iaitu kata nama, akan menghasilkan kata kerja memperbesar atau diperbesar. Bagi kata adjektif besar, lahir kata kerja memperalat atau diperalat. Demikian juga dengan kata bilangan tiga dan kata sendi nama oleh; masing-masing menjadi kata kerja mempertiga dan memperoleh.

Beza antara memper- dan diper- ialah memper- merupakan bentuk kata kerja aktif transitif manakala diper- ialah bentuk pasif. Perhatikan penggunaan perkataan ini dalam ayat: (1) Majikannya memperalat Ali (2) Ali diperalat oleh majikannya.

Terdapat maksud tertentu yang terkandung dalam kata kerja dengan awalan ini. Apabila kata dasarnya kata nama, maka kata kerja yang terbentuk membawa maksud ‘menggunakan atau digunakan sebagai’, atau ‘menanggap atau dianggap sebagai’, atau ‘menjadikan atau dijadikan sebagai’. Sebagai contoh, diperalat bererti dijadikan sebagai alat. Dalam ayat (2) Ali diperalat oleh majikannya, maksudnya ialah bahawa Ali telah dijadikan alat oleh majikannya. Demikian juga, memperhamba bererti menjadikan seperti hamba dan memperisteri membawa maksud menjadikan (mengambil sebagai) isteri.

Apabila kata dasarnya kata adjektif, kata kerja yang terhasil membawa maksud ‘menjadikan atau dijadikan lebih daripada yang tersebut dalam kata dasar’. Sebagai contoh, memperbesar bererti lagi atau menjadikan lebih besar. Demikian juga dengan perkataan mempercantik, memperkecil dan memperluas.

Perlu disedari bahawa jikalau kata adjektif menerima awalan memper- dan diper- , tidak perlu lagi ditambah akhiran -kan. Akhiran -kan dalam apitan meN-...-kan dan di-..-kan juga membawa maksud menjadikan atau dijadikan. Memperbesarkan, misalnya, bererti menjadikan besar. Oleh itu, lewah jika dikatakan *memperbesarkan atau *memperindahkan atau *diperindahkan, *memperkecilkan atau *diperkecilkan, dan *memperluaskan atau *diperluaskan. Pilih salah satu, iaitu, misalnya, sama ada memperindah atau mengindahkan.

Jika demikian, apa bezanya antara apitan meN-...-kan atau men-...-i dan di per- ... - kan dengan awalan memper- dan diper-? Jawabnya, apitan meN-...-kan atau meN-...-i dan di-...-kan, misalnya dalam memperbesarkan atau dibesarkan, membawa erti ‘menjadikan atau dijadikan besar’ manakala memperbesar atau diperbesar bererti 'menjadikan atau dijadikan lebih besar (sesuatu yang telah pun besar)’

Apabila kata dasarnya kata bilangan, kata kerja yang terhasil membawa maksud membahagi. Memperdua, misalnya, bererti ‘membahagi dua’. Contoh dalam ayat: (3) Amir memperdua untung jualan tanah itu dengan adiknya.

Awalan memper- dan diper- boleh bergabung dengan kata sendi nama oleh menghasilkan memperoleh. Maksudnya sama dengan kata kerja beroleh. Satu perkara yang perlu diingati mengenai memperoleh ialah akhiran -i tidak perlu. Memperolehi dianggap lewah oleh sebab memperoleh sudah cukup untuk mendukung maksudnya. Demikian juga dengan kata kerja pasif diperoleh. Demikianlah huraian ringkas tentang awalan memper- dan diper- . Diharap penjelasan ringkas ini dapat membimbing anda agar tidak membuat kesalahan bahasa.

(Sumber: http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klik4jan6.pdf)

Sabtu, 16 Ogos 2008

Menyetujui atau Mempersetujui?

PEDOMAN BAHASA Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

Banyak orang keliru tentang perbezaan penggunaan antara kata kerja yang menerima apitan meN-..-i seperti menyetujui, membaiki dan mendalami dengan kata kerja yang menerima apitan 'memper-...-i' seperti 'mempersetujui', 'memperbaiki', dan 'memperdalami'. Kekeliruan timbul kerana kedua-dua bentuk ini digunakan oleh ahli masyarakat (termasuk sesetengah penulis) tanpa memperlihatkan perbezaan yang jelas.

Sebenarnya bentuk yang seharusnya digunakan dalam bahasa Melayu ialah yang menerima apitan meN-..-i, seperti tiga contoh di atas (menyetujui, membaiki, mendalami) dan banyak lagi seperti mendekati, membasahi, menguasai, menghidangi, dan mengakui. Kecuali satu dua perkataan, misalnya memperingati, kata kerja dengan memper-...-i tidak perlu kerana apitan meN-...-i sudah mencukupi, dan mana-mana kata kerja dengan 'memper-...-i' merupakan bentuk-bentuk yang lewah semata-mata. Dengan kata lain, bentuk yang menerima apitan memper-...-i sepatutnya tidak digunakan, kerana sudah cukup dengan menggunakan apitan meN-...-i. Ini bererti 'memper-dalami' sepatutnya mendalami, 'mempersetujui' sepatutnya menyetujui, 'memperbaiki' sepatutnya membaiki dan 'memperhalusi' sepatutnya menghalusi. Mengapakah halnya demikian?

Dalam bahasa konsep ekonomi juga diutamakan. Maksudnya, jikalau ada bentuk yang lebih ringkas dan lebih pendek, maka bentuk itu dipilih berbanding dengan bentuk-bentuk lain. Dalam hal ini, apitan meN-...-i lebih ringkas daripada apitan 'memper-...i'. Oleh itu, kita memilih untuk menggunakan apitan meN-...-i.
Mengapakah terbitnya bentuk-bentuk seperti 'memperdalami', 'mempersetujui', 'memperbaiki' dan seterusnya yang dikatakan lewah ini? Sebenarnya hal ini berlaku kerana kebanyakan pengguna bahasa Melayu tidak begitu tahu tentang hukum pembentukan kata dengan apitan dan tidak juga sedar tentang sifat lewah ini dan menyangka bahawa bentuk 'memper-...-i' boleh digunakan, sebagaimana bentuk memper-...-kan terdapat dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang mereka menyangka bahawa bentuk dengan apitan 'memper-...-i' ini canggih dan lebih sesuai digunakan.

Sebenarnya, penggunaan apitan memper-...-i, kini tidak begitu produktif bagi pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, terdapat kekecualian. Satu contoh kekecualian ialah pada kata dasar ingat. Kata dasar ini, seperti banyak kata dasar lain, menerima apitan meN-...-i untuk membentuk mengingati, yang membawa maksud mengingat akan, misalnya dia mengingati pesanan ibunya. Kini wujud keperluan untuk menyatakan satu lagi jenis mengingat, iaitu mengingat akan sesuatu peristiwa dengan mengadakan perayaan, misalnya memperingati hari kemerdekaan negara. Di sini, perlu dibezakan kedua-dua pengertian ini dengan menggunakan dua apitan, iaitu meN-...-i dan memper-...-i. Maka itu lahirlah bentuk mengingati dan memperingati, bagi dua perkara yang berbeza.

Dengan kata lain, bentuk dengan apitan memper-...-i tidak salah, hanya buat masa ini, masih tidak diperlukan. Jikalau pada suatu ketika nanti kita perlu membezakan makna dan perkataan dengan meN-...-i tidak lagi mencukupi, maka boleh dibina perkataan baharu dengan apitan memper-...-i.

Bagaimana pula dengan memperoleh? Sebelum ini ramai orang menggunakan bentuk 'memperolehi', tetapi kebelakangan ini, bentuk yang dikatakan betul ialah memperoleh. Penjelasannya terletak pada proses pembentukan kata itu. Dalam hal ini, prosesnya ialah kata dasar oleh menerima awalan memper- dan bukan apitan memper-...i. Maka lahirlah bentuk yang betul, iaitu memperoleh, dan bukan 'memperolehi'. Oleh itu, perkataan 'memperolehi' tidak bertepatan dengan sistem nahu bahasa Melayu.