Sabtu, 16 Ogos 2008

Menyetujui atau Mempersetujui?

PEDOMAN BAHASA Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

Banyak orang keliru tentang perbezaan penggunaan antara kata kerja yang menerima apitan meN-..-i seperti menyetujui, membaiki dan mendalami dengan kata kerja yang menerima apitan 'memper-...-i' seperti 'mempersetujui', 'memperbaiki', dan 'memperdalami'. Kekeliruan timbul kerana kedua-dua bentuk ini digunakan oleh ahli masyarakat (termasuk sesetengah penulis) tanpa memperlihatkan perbezaan yang jelas.

Sebenarnya bentuk yang seharusnya digunakan dalam bahasa Melayu ialah yang menerima apitan meN-..-i, seperti tiga contoh di atas (menyetujui, membaiki, mendalami) dan banyak lagi seperti mendekati, membasahi, menguasai, menghidangi, dan mengakui. Kecuali satu dua perkataan, misalnya memperingati, kata kerja dengan memper-...-i tidak perlu kerana apitan meN-...-i sudah mencukupi, dan mana-mana kata kerja dengan 'memper-...-i' merupakan bentuk-bentuk yang lewah semata-mata. Dengan kata lain, bentuk yang menerima apitan memper-...-i sepatutnya tidak digunakan, kerana sudah cukup dengan menggunakan apitan meN-...-i. Ini bererti 'memper-dalami' sepatutnya mendalami, 'mempersetujui' sepatutnya menyetujui, 'memperbaiki' sepatutnya membaiki dan 'memperhalusi' sepatutnya menghalusi. Mengapakah halnya demikian?

Dalam bahasa konsep ekonomi juga diutamakan. Maksudnya, jikalau ada bentuk yang lebih ringkas dan lebih pendek, maka bentuk itu dipilih berbanding dengan bentuk-bentuk lain. Dalam hal ini, apitan meN-...-i lebih ringkas daripada apitan 'memper-...i'. Oleh itu, kita memilih untuk menggunakan apitan meN-...-i.
Mengapakah terbitnya bentuk-bentuk seperti 'memperdalami', 'mempersetujui', 'memperbaiki' dan seterusnya yang dikatakan lewah ini? Sebenarnya hal ini berlaku kerana kebanyakan pengguna bahasa Melayu tidak begitu tahu tentang hukum pembentukan kata dengan apitan dan tidak juga sedar tentang sifat lewah ini dan menyangka bahawa bentuk 'memper-...-i' boleh digunakan, sebagaimana bentuk memper-...-kan terdapat dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang mereka menyangka bahawa bentuk dengan apitan 'memper-...-i' ini canggih dan lebih sesuai digunakan.

Sebenarnya, penggunaan apitan memper-...-i, kini tidak begitu produktif bagi pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, terdapat kekecualian. Satu contoh kekecualian ialah pada kata dasar ingat. Kata dasar ini, seperti banyak kata dasar lain, menerima apitan meN-...-i untuk membentuk mengingati, yang membawa maksud mengingat akan, misalnya dia mengingati pesanan ibunya. Kini wujud keperluan untuk menyatakan satu lagi jenis mengingat, iaitu mengingat akan sesuatu peristiwa dengan mengadakan perayaan, misalnya memperingati hari kemerdekaan negara. Di sini, perlu dibezakan kedua-dua pengertian ini dengan menggunakan dua apitan, iaitu meN-...-i dan memper-...-i. Maka itu lahirlah bentuk mengingati dan memperingati, bagi dua perkara yang berbeza.

Dengan kata lain, bentuk dengan apitan memper-...-i tidak salah, hanya buat masa ini, masih tidak diperlukan. Jikalau pada suatu ketika nanti kita perlu membezakan makna dan perkataan dengan meN-...-i tidak lagi mencukupi, maka boleh dibina perkataan baharu dengan apitan memper-...-i.

Bagaimana pula dengan memperoleh? Sebelum ini ramai orang menggunakan bentuk 'memperolehi', tetapi kebelakangan ini, bentuk yang dikatakan betul ialah memperoleh. Penjelasannya terletak pada proses pembentukan kata itu. Dalam hal ini, prosesnya ialah kata dasar oleh menerima awalan memper- dan bukan apitan memper-...i. Maka lahirlah bentuk yang betul, iaitu memperoleh, dan bukan 'memperolehi'. Oleh itu, perkataan 'memperolehi' tidak bertepatan dengan sistem nahu bahasa Melayu.

Ahad, 3 Ogos 2008