Sabtu, 20 September 2008

Awalan mempeR- dan dipeR-

PEDOMAN BAHASA Bersama Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim

Ramai pengguna bahasa Melayu terkeliru dengan cara menggunakan awalan memper- dan diper-, apatah lagi perbezaannya dengan apitan memper- atau diper- dan memper- ... -kan atau diper- ... - kan . Di bawah dihuraikan aspek ini dengan serba ringkas.

Awalan memper- dan diper- ialah awalan pembentuk kata kerja. Maksudnya, mana-mana kata dasar daripada golongan kata apa sekalipun, apabila bergabung dengan awalan ini, akan menghasilkan kata kerja. Sebagai contoh, kata dasar alat, iaitu kata nama, akan menghasilkan kata kerja memperbesar atau diperbesar. Bagi kata adjektif besar, lahir kata kerja memperalat atau diperalat. Demikian juga dengan kata bilangan tiga dan kata sendi nama oleh; masing-masing menjadi kata kerja mempertiga dan memperoleh.

Beza antara memper- dan diper- ialah memper- merupakan bentuk kata kerja aktif transitif manakala diper- ialah bentuk pasif. Perhatikan penggunaan perkataan ini dalam ayat: (1) Majikannya memperalat Ali (2) Ali diperalat oleh majikannya.

Terdapat maksud tertentu yang terkandung dalam kata kerja dengan awalan ini. Apabila kata dasarnya kata nama, maka kata kerja yang terbentuk membawa maksud ‘menggunakan atau digunakan sebagai’, atau ‘menanggap atau dianggap sebagai’, atau ‘menjadikan atau dijadikan sebagai’. Sebagai contoh, diperalat bererti dijadikan sebagai alat. Dalam ayat (2) Ali diperalat oleh majikannya, maksudnya ialah bahawa Ali telah dijadikan alat oleh majikannya. Demikian juga, memperhamba bererti menjadikan seperti hamba dan memperisteri membawa maksud menjadikan (mengambil sebagai) isteri.

Apabila kata dasarnya kata adjektif, kata kerja yang terhasil membawa maksud ‘menjadikan atau dijadikan lebih daripada yang tersebut dalam kata dasar’. Sebagai contoh, memperbesar bererti lagi atau menjadikan lebih besar. Demikian juga dengan perkataan mempercantik, memperkecil dan memperluas.

Perlu disedari bahawa jikalau kata adjektif menerima awalan memper- dan diper- , tidak perlu lagi ditambah akhiran -kan. Akhiran -kan dalam apitan meN-...-kan dan di-..-kan juga membawa maksud menjadikan atau dijadikan. Memperbesarkan, misalnya, bererti menjadikan besar. Oleh itu, lewah jika dikatakan *memperbesarkan atau *memperindahkan atau *diperindahkan, *memperkecilkan atau *diperkecilkan, dan *memperluaskan atau *diperluaskan. Pilih salah satu, iaitu, misalnya, sama ada memperindah atau mengindahkan.

Jika demikian, apa bezanya antara apitan meN-...-kan atau men-...-i dan di per- ... - kan dengan awalan memper- dan diper-? Jawabnya, apitan meN-...-kan atau meN-...-i dan di-...-kan, misalnya dalam memperbesarkan atau dibesarkan, membawa erti ‘menjadikan atau dijadikan besar’ manakala memperbesar atau diperbesar bererti 'menjadikan atau dijadikan lebih besar (sesuatu yang telah pun besar)’

Apabila kata dasarnya kata bilangan, kata kerja yang terhasil membawa maksud membahagi. Memperdua, misalnya, bererti ‘membahagi dua’. Contoh dalam ayat: (3) Amir memperdua untung jualan tanah itu dengan adiknya.

Awalan memper- dan diper- boleh bergabung dengan kata sendi nama oleh menghasilkan memperoleh. Maksudnya sama dengan kata kerja beroleh. Satu perkara yang perlu diingati mengenai memperoleh ialah akhiran -i tidak perlu. Memperolehi dianggap lewah oleh sebab memperoleh sudah cukup untuk mendukung maksudnya. Demikian juga dengan kata kerja pasif diperoleh. Demikianlah huraian ringkas tentang awalan memper- dan diper- . Diharap penjelasan ringkas ini dapat membimbing anda agar tidak membuat kesalahan bahasa.

(Sumber: http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klik4jan6.pdf)